Sunday, August 1, 2010

Forum Rasuah Satu Jenayah, kenapa Dipolitikkan?

Rasuah merupakan satu jenayah yang berbahaya dan mampu menjatuhkan sesebuah negara. Hal ini kerana kegiatan rasuah sudah dipolitikkan dan seolah-olah menjadi satu perkara yang biasa dalam masyarakat pada hari ini.

Fenomena seumpama ini jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa dan akan membentuk satu masyarakat yang tidak jujur dan akan mengakibatkan kesan buruk pada negara, agama dan juga sesuatu bangsa itu sendiri.

Menurut Dr.Ahmad Ridhuan Tee Abdullah, budaya rasuah ini sebenarnya telah lama wujud dan disedari oleh agama Islam dan cara yang terbaik bagi mengatasi dan mengawal budaya ini telah pun diambil. Langkah pertama yang tegas telah diutarakan oleh Islam iaitu dengan mengharamkan secara berkesan tanpa bertolak ansur dengan rasuah dan apa yang paling penting ialah pelaku itu sendiri harus sedar akan dosa dan balasan yang bakal mereka terima di akhirat kelak.

Perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk terus menapak selangkah pada masa depan. Kemajuan sesebuah negara banyak bergantung kepada cerdik pandai dan golongan profesional yang ada dalam sesebuah negara tersebut. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara kita dan sekaligus bakal memporak-perandakan sistem yang ada di negara kita.

Masalah kesukaran mendapatkan bukti, keengganan saksi untuk tampil ke hadapan, kekurangan kakitangan dan pegawai ini sering menghalang usaha Badan Pencegah Rasuah untuk menjalankan tugas mereka. Namun dengan tertubuhnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Perlindungan Saksi, masalah ini akan dapat diatasi. Dengan adanya mereka yang membawa peranan sebagai agen yang membantu membanteras kegiatan seumpama ini, diharapkan agar pihak yang terlibat dengan kegiatan rasuah akan menerima hukuman yang setimpal dan sewajarnya.
Impak yang dapat dilihat kesan daripada gejala rasuah ini ialah dari segi pentadbiran sesebuah negara yang akan menjadi kucar-kacir ekoran dari sikap yang tidak bertanggungjawab tersebut. Secara tidak langsung ianya akan menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara.

Pelbagai langkah boleh diambil bagi membanteras gejala rasuah seperti memantapkan iman dan mengukuhkan jati diri dalam diri setiap individu. Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling teguh untuk membenteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah, maka amalan rasuah akan dapat diatasi.
Rasuah mampu memporak-perandakan bukan sahaja masyarakat tetapi juga terhadap negara itu sendiri. Oleh yang demikian, masyarakat amnya harus sedar akan impak dari perbuatan tersebut dan pada masa yang sama cuba untuk mengelakkan diri dari terlibat dengan gejala rasuah dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan juga terbilang dari segi semua aspek.

No comments:

Post a Comment