Sunday, August 15, 2010

MEDIA ANTARA REALITI DAN PERSEPSI

Sejajar dengan perkembangan teknologi dan juga arus globalisasi pada zaman sekarang, media memang seringkali dikaitkan dan diumpamakan sebagai salah satu faktor yang banyak mempengaruhi kehidupan seseorang individu. Ianya merangkumi kesemua aspek kehidupan. Antara peranan media ialah mengawasi, memberitahu dan seterusnya sebagai peringatan terhadap sesuatu perkara yang bakal berlaku, yang sedang berlaku mahupun perkara yang sudah berlaku. Ini menunjukkan bahawa pengaruh media sangat kuat dalam mencorak dan membentuk sesuatu perkara.

Namun, ada juga sesetengah individu yang kadang-kadang membiarkan diri mereka sendiri terjerumus dalam kehidupan yang dibelenggu oleh media. Ini sekaligus membutakan mereka untuk membezakan antara realiti dan mendorong untuk perubahan persepsi terhadap seseorang ataupun terhadap sesuatu perkara.

Seseorang itu juga mungkin mahu menjauhi sesuatu yang rutin dalam hidupnya dan lari dari realiti hidup sebenarnya. Media memainkan peranan mengisi keperluan, dan kebosanan seseorang. Dengan menggunakan media, seseorang itu akan berpeluang meringankan ketegangan, membangkitkan semangat atau merehatkan diri atau mengurangkan tekanan emosi. Tetapi pada dasarnya, itu hanyalah bersikap sementara kerana masalah yang timbul tetapi tidak dirungkai pastinya akan terus membelenggu individu tersebut. Dalam konteks ini, individu tersebut seharusnya sedar akan kepentingan media dan bukannya menggunakan media ke arah ketenangan yang bersikap sementara.

Ini merupakan satu tanggapan yang biasa kita dengar dari mulut masyarakat pada zaman sekarang iaitu media sangat memberi impak yang sangat berkesan. Namun, ada juga sesetengah dari mereka yang berfikir dan mempunyai persepsi yang negatif terhadap media. Jika dilihat dari sudut yang positif, maka sesuatu benda yang dibincangkan pasti akan menjadi positif tetapi jika dilihat dari sudut negatif maka kesan yang terhasil akan menjadi negatif. Tidak dinafikan bahawa media sangat penting. Dengan penggunaan media, kita dapat menjimatkan masa, kos dan sebagainya. Dengan kata lainnya, segalanya hanya berada dihujung jari sahaja.

Selain itu, media juga mempunyai peranan dan fungsinya yang tersendiri. Ini kerana media sangat diperlukan khususnya sebagai medium perantaraan untuk membolehkan sesuatu informasi disalurkan kepada semua pihak. Ini sekaligus mempercepatkan proses penerimaan maklumat dalam kalangan masyarakat. Ini juga membantu proses penerimaan maklumat dengan cepat dan berkesan.

Namun begitu, ada juga sesetengah pihak yang menyalahgunakan media. Seperti yang kita sedia maklum, media semakin berkembang dari hari ke hari. Peranan media memang tidak dapat disangkal lagi dalam menuju dan mencapai wawasan 2020. Media juga bertindak sebagai kayuukur dalam menetukan arus kemodenan dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. Melalui media juga, kita juga berpeluang untuk merasai apa erti teknologi kerana media merupakan sebahagian daripada teknologi sekaligus diadaptasikan dalam kehidupan kita.

Cuba bayangkan apa yang ditayangkan dalam filem Melayu, Hindustan dan Hollywood yang ditonton. Kehidupan yang digambarkan selalunya lebih menarik berbanding kehidupan sebenar. Hubungan peribadi yang sebenarnya bukanlah seindah yang digambarkan dalam filem. Namun apa yang ditonton di televisyen dipercayai akan membentuk perspektif khalayak terhadap apa yang berlaku secara kumulatif apabila khalayak terus menonton televisyen. Dengan kata lain, semakin lama seseorang itu menonton televisyen maka semakin cenderung ia mempercayai apa yang ditontonnya sebagai realiti yang berlaku. Hakikatnya, terdapat hubungan antara imej media dengan pandangan seseorang terhadap realiti kehidupan.

Walau bagaimanapun, khalayak dan juga pengamal media sering dihadapkan dengan situasi untuk menilai, memilih dan mengimbangi antara kebenaran dan kepentingan diri. Sebagai contoh, seorang wartawan yang membuat liputan berita tentang perihal salah laku artis berkemungkinan menjatuhkan maruah individu tertentu. Tindakan untuk menyiarkan berita oleh wartawan tersebut diambil atas dasar bahawa “khalayak berhak mengetahuinya” Persoalan yang timbul dari tindakan sedemikian ialah apa sebenarnya yang perlu diketahui oleh khalayak dan apa pula kepentingan maklumat sedemikian kepada khalayak. Disini, etika media sangat diperlukan untuk menjamin bahawa sesuatu isu yang dikupas tidak memberi impak yang negatif sekaligus menjatuhkan maruah seseorang dimata masyarakat, negara dan juga di mata dunia.

Komunikasi massa atau media sememangnya mempunyai fungsi penting di dalam segenap aspek kehidupan individu dan masyarakat. Masyarakat umum sentiasa berinteraksi dengan media dalam setiap aktiviti yang dilakukannya. Media boleh mengawasi sesuatu yang berlaku di persekitaran dan mempengaruhi perlakuan sesuatu masyarakat.

Kepelbagaian media massa juga membuka pintu yang luas terhadap dunia dan kehidupan sejagat dibandingkan dengan sebelumnya, tetapi kita sebagai pengguna media seharusnya mempunyai pilihan yang tersendiri dalam menentukan kegunaan media, memahami secara kritikal dan menilai maksud di sebalik kandungan mesej yang cuba disampaikan oleh mereka dan sekaligus dapat membezakan sama ada ianya mendatangkan kesan yang positif ataupun sebaliknya. Ini penting untuk membentuk masyarakat ke arah menjadi sebuah masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

No comments:

Post a Comment